4 January 2017

Viral: Murid berenang dalam air banjir di sekolah

-- --


Kota Bharu: Berikutan pekarangan sekolah dinaiki air susulan hujan lebat berterusan, ada murid di sebuah sekolah, di sini, mengambil kesempatan untuk mandi-manda.

Gelagat mereka berenang dalam air bah bersama pakaian seragam sekolah yang masih tersarung di badan dirakam ibu bapa yang datang menjemput anak mereka selepas dibenarkan pulang awal.

Gambar itu kemudian menjadi tular di laman sosial sejak semalam.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kadok Kamariah Mat Yusof berkata, pihaknya membenarkan ibu bapa mengambil anak mereka jam 10 pagi selepas kawasan sekolah dinaiki air.

“Murid memang dalam pantauan guru sebelum ibu bapa menjemput mereka, namun ketika gambar itu diambil, ada beberapa orang (murid) yang tidak sempat ditegah (bermain air).

“Kami memang melarang keras murid bermain air banjir kerana dikhuatiri terdedah penyakit bawaan air.

“Malangnya ketika ada ibu bapa yang mahu menjemput, ada pula murid ambil kesempatan bermain air dan gambar mereka dirakam hingga viral (tular),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kamariah berkata, pihaknya kesal dengan kejadian yang berlaku kerana di luar kawalan dan berharap ia tidak berulang lagi.

Operasi sekolah itu ditutup semalam dan akan dibuka semula apabila air surut.