17 November 2016

Suami Culik Bayi Untuk Hilangkan Kemurungan Isteri

-- --


KOTA BARU, 17 Nov — Tiada pembabitan orang ketiga dalam kes penculikan bayi di Hospital Tanah Merah kelmarin, kata timbalan ketua polis Kelantan.

SAC Din Ahmad berkata bayi perempuan itu dilarikan atas inisiatif suspek mahu meredakan kemurungan isterinya yang keguguran pada Jun lepas.

“Siasatan awal mendapati lelaki yang melarikan bayi itu dikatakan mahu mengurangkan kemurungan isterinya yang mengalami keguguran pada Jun lalu.

“Setakat ini siasatan yang dijalankan, kita dapati tiada pembabitan pihak ketiga dan ia berlaku hasil inisiatif pasangan itu sendiri,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.


Ketua polis Tanah Merah Deputi Supt Suzaimi Mohamad hari ini dilaporkan berkata suspek dan pasangannya diberkas kelmarin dan kini direman empat hari di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri menyedari kehilangan bayinya pada pukul 9 malam kelmarin selepas dimasukkan ke dalam wad kerana mengalami kuning.

Bayi yang diberi nama Nur Amyra Sofea diculik suspek selepas kedua-dua mereka menjelaskan bil hospital dan berpura-pura seperti pasangan yang baru menimang cahaya mata.