29 November 2016

Makan banyak2, lepastu lari tak bayar !!

-- --



SUNGAI BESAR - “Adik, akak pergi bank dulu ya, akak lapar sangat tadi...nanti akak datang sini bayar,” itu antara kata-kata salah seorang daripada suspek wanita yang menggunakan taktik untuk menikmati makan tengah hari percuma di sebuah kedai makan di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, taktik dua wanita itu kantoi apabila pengusaha kedai makan itu sempat mengesyaki mereka cuba menipu selepas terbaca status di Facebook salah seorang pengusaha kedai makan lain mendakwa ditipu pelanggan dengan pelbagai alasan untuk menjamah makanan percuma.





Pengusaha Restoran S Solinada, Norazlina Salim, 34, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 tengah hari itu, dua pelanggan terbabit berpura-pura mesra dan mengenali arwah bapanya.

“Seorang daripada mereka tanya saya ni anak sidang (pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung persekutuan) ke? Saya cakap ya, dan kemudian mereka hanya tersenyum.

“Lepas setengah jam mereka makan kat kedai saya, tiba-tiba dia cakap makcik tak sempat nak ambil duit dan bila saya dengar dia kata macam tu, saya teringat status Facebook seorang pengusaha kedai makan yang turut ditipu dengan taktik yang lebih kurang sama,” katanya.

Norazlina berkata, selepas berbincang dengan ibu dan beberapa pekerja lain, mereka tetap berkeras meminta supaya dua wanita terbabit membayar bil makanan dan minuman berkenaan.

“Hairan juga saya sebab salah seorang keluarkan RM20 dan lepas saya pulangkan baki mereka terus beredar dari kedai ini,” katanya.

Seorang lagi pengusaha kedai makan, Intan Suhaila Abd Hair, 35, mendakwa, pasangan muda yang singgah di kedai makannya itu sempat melarikan diri selepas membuat pesanan pelbagai jenis makanan.

Menurutnya, pasangan itu kelihatan mesra seperti pasangan kekasih duduk berhampiran kaunter bayaran dan sempat berbual dengan adiknya, Intan Hidayah, 31

“Mereka tanya adik saya, kat mana bengkel kereta di sini sebab kereta mereka rosak.

Tapi, peliknya mereka naik motosikal datang ke kedai makan kami.

“Lepas tu perempuan tu pura-pura ke kaunter kononnya nak buat bayaran, tapi tiba-tiba kata dompet tertinggal dalam kereta dan minta adik saya tunggu sebentar.

“Tapi tengah adik saya sibuk dengan pelanggan lain, mereka terus larikan diri,” katanya.

Intan Suhaila berkata, adiknya itu sempat merakam gambar lelaki dan wanita terbabit semasa menaiki motosikal setelah beredar dari kedai berkenaan.

“Sejak kebelakangan ni, banyak kes sama berlaku di sini membabitkan peniaga kedai makan.

Saya harap peniaga kedai makan lain lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.

#SHonline
#CendolAtok