29 November 2016

Gadis Muslim Pakai hijab, burkini di pertandingan Ratu Cantik AS

-- --

SEORANG peserta pertandingan ratu cantik di Amerika Syarikat mencuri perhatian ramai kerana merupakan peserta pertama yang memakai hijab dan menggayakan burkini, iaitu pakaian renang wanita Muslimah.

Dalam pertandingan yang disertai oleh 44 wanita lain, Halima Aden selesa memakai pakaian yang sopan, termasuk memakai burkini, ketika pusingan pakaian renang di pentas pertandingan, Miss Minnesota.

Malah, tindakan Aden tidak mendapat bantahan pihak penganjur yang menghormati prinsip pelajar berusia 19 tahun itu.

“Dia mencipta sejarah malam ini,” kata seorang pengarah untuk pertandingan Miss Minnessota, Denise Wallace.

Selain fokus kepada hadiah utama iaitu sebuah biasiswa, Aden menyertai pertandingan ini sebagai satu langkah untuk memecah stereotaip tentang pertandingan ratu cantik.

“Saya mahu menjadi diri saya sendiri. Bila ada banyak wanita di negeri ini memakai hijab, kita sepatutnya nampak itu semua (termasuk pentas pertandingan ini),” katanya, dipetik dari portal Star Tribune.




Keluarga Aden berasal dari Somalia dan berpindah ke Amerika Syarikat ketika beliau masih kecil.
Lapor The Huffington Post, Aden berjaya ke pusingan separuh akhir pertandingan Miss Minnesota namun tidak berjaya mara ke pusingan akhir.

Pemenang Miss Minnesota akan mewakili negeri itu di pertandingan seterusnya iaitu Miss U.S.A. pada tahun hadapan