21 November 2016

Bung Mokhtar gigit Parang Sembelih Khinzir, Ini Jawapan Felcra

-- --




Penjelasan ke atas upacara Majlis Perasmian Pecah Tanah Tapak Kilang Sawit FELCRA Ventures Sri Aman Sdn Bhd yang telah diadakan pada 12 November 2016

1. Majlis Perasmian Tapak Kilang Sawit FELCRA Ventures Sri Aman Sdn Bhd tersebut telah dihadiri oleh tetamu utama iaitu YB Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kapit; YB Datuk Franchis Hardin, Menteri Muda Ekonomi Desa dan Perladangan Sarawak, serta YB Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Lingga.

2. Hadir sama adalah YB Dato' Sri Bung Moktar Radin, Pengerusi FELCRA Berhad merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan; YB Tuan Hasbi Habibollah, Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Berhad merangkap Ahli Parlimen Limbang serta Ybhg. Encik Zulkarnain Md. Eusope, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad.

3. Majlis ini diadakan bertujuan bagi merasmikan pembinaan kilang sawit usahasama di antara syarikat dari Sarawak dan FELCRA Berhad serta dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada Disember 2017.

4. Pembinaan kilang itu dijangka memberi impak dan peluang pekerjaan serta pembangunan sosio ekonomi kepada kawasan luar bandar terutama di Bahagian Sri Aman.

5. Upacara 'miring' yang merupakan salah satu adat dan budaya yang cukup sinonim dengan kaum Iban yang mewakili 29 peratus daripada 2.5 juta penduduk Bumi Kenyalang ini dilaksanakan oleh YB Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kapit yang juga merupakan pemimpin utama masyarakat Iban.

6. Acara merejam khinzir bukanlah acara rasmi dan ianya dilakukan tanpa kehadiran YB Dato' Sri Bung Moktar Radin, Pengerusi FELCRA Berhad dan Ybhg. Encik Zulkarnain Md. Eusope, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad.

7. Bagi upacara menggigit 'parang adat' pula, ia adalah sebagai menghormati adat istiadat masyarakat Iban yang merupakan sebahagian besar dari peserta FELCRA Berhad di kawasan berkenaan dan parang tersebut tidak digunakan bagi acara merejam khinzir.

8. Bagi FELCRA Berhad, sensitiviti di antara kaum perlu dipelihara sepenuhnya bagi menjamin keharmonian perhubungan kemasyarakatan tanpa mengira bangsa dan agama.

9. FELCRA Berhad akan terus menjaga hubungan baik di antara kaum di Malaysia demi perpaduan nasional.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT FELCRA BERHAD