27 October 2016

Tolak tawaran jutaan ringgit untuk ampun putera raja bunuh anaknya

-- --



RIYADH, 26 Muharram 1438H, Khamis – Jutaan ringgit ditolak, sebaliknya seorang bapa mahu hukum Allah ditegakkan ke atas seorang putera diraja Arab Saudi yang didapati bersalah membunuh anaknya.

Mahkamah Persekutuan Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas Putera Turki Bin Saud Bin Turki Bin Saud Al Kabeer, tiga tahun lalu. Keputusan itu disokong oleh Mahkamah Agung, sebelum perintah diraja dikeluarkan untuk pelaksanaan hukuman pancung, minggu lalu.

Dalam undang-undang syariah yang diamalkan di Arab Saudi, keluarga tertuduh boleh menawarkan kepada keluarga mangsa ‘wang darah’ (diyyah) sebagai tukaran kepada hukuman pancung itu.

Selasa minggu lalu, putera diraja itu menjalani hukuman pancung di dataran Masjid al-Safa di Riyadh selepas didapati bersalah membunuh seorang pemuda, Adel Al Muhaimeed.

Menceritakan detik akhir sebelum hukuman dilaksanakan, imam masjid berkenaan, Mohammed al-Masloukhi menceritakan keluarga Muhaimeed ditawarkan jutaan ringgit sebagai wang darah, tetapi ditolak.

“Ketika di dataran masjid, mereka meletakkan jutaan ringgit di tangan bapa Adel Al Muhaimeed, tetapi dia menolak wang itu dan menuntut pelaksanaan hukum Allah,” katanya.

Berikutan pelaksanaan hukuman pancung ke atas Putera Turki, ramai personaliti Arab Saudi memberi ulasan sama ada menerusi media perdana dan media sosial, dengan kebanyakkannya mengalu-alukan tindakan adil tanpa membezakan kedudukan seseorang.

Walaupun, sesetengah netizen membantah kenyataan Kementerian Dalam Negeri mengenai hukuman pancung itu yang hanya menyatakan ‘rakyat Arab Saudi Turki al-Kabir’ tanpa menyebut tarafnya sebagai putera diraja, ramai juga yang mengatakan hukuman itu adalah adil buat semua rakyat.

“Apa yang penting kepada rakyat ialah merasai bahawa layanan undang-undang adalah sama walaupun mereka adalah darah diraja. Tiada siapa yang lebih besar atau kecil daripada sesiapa pun,” kata penulis dan peguam, Abdul Rahman al-Lahim.

Hashtag Twitter ‘Perintah tegas Salman pembalasan buat putera’ menjadi viral selepas berita hukuman pancung itu diumumkan.

Kerabat Diraja Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan al-Saud memberitahu bahawa Raja Arab Saudi sentiasa menekankan bahawa tiada perbezaan undang-undang antara seorang putera diraja dengan rakyat biasa. – Agensi