3 December 2014

Tak Perlu Canangkan Kebahagian Rumah Tangga Kita Di Laman Sosial

-- --


Hari minggu, mama mengajak semua anaknya balik ke rumah. Reunion. Lapan orang anak. Semua dah besar panjang, dah ada kerjaya, ada keluarga. Nasib baiklah, sebahagiannya kerja tak jauh, sekitar ibu kota saja dan sebahagian lagi sejam dua perjalanan saja balik kampung.

Berkumpullah sekeluarga. Makan-makan. Gelak ketawa bersama. Lepas makan, semua duduk di ruang tamu.

Mama ajak semua duduk keliling dia. Mama ambil dua tiga album lama. Buka dan tunjukkan semua gambar pada anak-anak dan cucu-cucu. Ada yang tergelak tengok gambar lama, ada yang menangis tengok gambar arwah abah. Semua tu kenangan.

Sambil-sambil belek gambar lama, mama bersuara,

"Zaman sekarang dah tak sama macam dulu. Album gambar macam ni dah lapuk. Ketinggalan zaman. Semua album sekarang dalam henfon, komputer. Digitalkan semua. Gambar-gambar dulu semua original, tak ada edit-edit. Sekarang, susah nak beza. Kadang-kadang tak cam tu ahli keluarga sendiri."

Kami senyum saja dengar. Memang zaman dah berubah.

"Mama tengok di internet. Dengan tab yang kamu semua belikan tu. Mama jadi hairan;

Contohnya, orang muda yang baru saja bernikah setahun dua. Ada anak kecil seorang dua. Rata-rata mereka tulis tentang kebahagiaan pernikahan mereka. Sebarkan tentang kebahagiaan mereka. Malahan, bangga dan kagum. Mama terfikir, usia pernikahan baru menginjak setahun dua, masih terlalu awal untuk simpulkan bahagia. Orang lain pun kahwin juga, perjalanan masih jauh hidup berumahtangga.

Tak diduga pun lagi dengan kepayahan besarkan anak, anak nak sekolah, anak nak masuk universiti, anak sakit kritikal, anak kemalangan, suami buat hal, bergaduh sampai nak bercerai, anak-anak terlibat kes juvana dan macam-macam lagi.

Awal-awal, memang manis. Semuanya sweet. Tapi, ingat. Di setiap kemanisan, adanya ujian.

Setiap kebahagiaan yang bangga ditayang, jangan disangka Allah tidak akan berikan dugaan demi dugaan."

Kami cuba mencelah,

"Tapi, mama, kami cuma nak orang lain pun rasa gembira. Nak ajak orang muda segera berumahtangga.."

Mama senyum.

"Niat tu baik. Tapi bagi mama, bahagia itu biarlah kita saja yang rasa. Macam kita tengah tengok gambar-gambar sekarang ni, yang teruja dan gembira hanyalah kita. Sebab, kita saja yang melalui dan mengerti. Sedangkan di luar sana, ada macam-macam jenis orang. Ada yang tumpang gembira, ada yang cemburu, ada yang sakit hati, ada yang meluat, ada yang benci.

Kita pun tidak suka bila gambar-gambar kebahagiaan kita jadi buah mulut orang yang benci. Jadi tohmahan dan fitnah. Ingat, ramai yang suka kita, ramai juga yang tak suka kita."

Kami anggukkan saja. Antara setuju dan tidak.

"Mama cuma nak ingatkan anak-anak dan cucu-cucu. Mama tak larang, sebab ini zaman kamu. Bukan lagi zaman mama.

Misalnya, hari ini kamu canangkan di laman sosial, "Bahagianya cinta lepas nikah" dengan gambar kamu dan isteri terpapar megah. Kemudian, Allah uji pernikahan kamu tu dengan salah faham dan perkelahian. Akhirnya, bercerai di usia muda. Masa tu, cuba kamu fikir silapnya di mana? Jangan salahkan takdir. Tapi, kerana kita kadang-kadang terlampau seronok, gembira, kita rasa kita buat tu semuanya betul. Kita lupa Allah sedang memerhati dan menilai.

Kita lupa di dunia ini, Allah tidak penat menduga.
Kita saja yang sentiasa tersungkur diduga.

Bahagia yang sebenar-benarnya bahagia, hanya di akhirat sana.
Bahagia yang dirasai sekarang, fana dan sementara.

Orang-orang beriman, rasa bahagia diduga."

Kami senyum, cium tangan dan pipi mama. Walaupun tidak sependapat, kadang-kadang pendapat orang tua perlu difikirkan. Mereka sudah berada di hujung jalan dengan pelbagai kutipan liku-liku pengalaman. Sedang kita baru nak mulakan perjalanan.

cerita oleh: Muhammad Rusydi