25 December 2014

Bukan Tong Gas, Tapi BOM !! - Polis Kedah

-- --


GURUN: Polis Kedah mengesahkan letupan dan kebakaran yang berlaku di Taman Ria Mesra 2 dekat Gurun, Kedah petang semalam adalah disebabkan letupan daripada bom.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya memaklumkan pihaknya masih belum mengenal pasti jenis bom tersebut.

Katanya, polis masih menunggu keputusan hasil siasatan terperinci daripada Unit Pemusnah Bom PDRM.

Unit Pemusnah Bom terpaksa membuat pembersihan kawasan dahulu dengan mengeluarkan saki-baki daripada bom yang masih belum meletup itu untuk melakukan siasatan terperinci terhadap serpihan atau bukti yang mengakibatkan letupan yang begitu kuat.

Jelas beliau lagi pihaknya terpaksa melakukan siasatan dari pelbagai sudut bagi mengetahui bagaimana bahan letupan itu boleh berada di dalam rumah itu dan bagaimana ia boleh meletup.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian petang semalam tiga beranak maut manakala seorang lagi ahli keluarga cedera parah dalam satu kejadian letupan bom yang dipercayai bahan letupan jenis ‘bom tangan grenade’ (mortar) di sini.

Kejadian itu menyebabkan seorang anggota tentera yang dikenali sebagai Ayob, berusia dalam lingkungan 30-an, anak perempuannya Nor Hidayu Shahirah Ayob, 8, dan anak lelakinya Mohamad Idham Shahmi, 5, maut.

Sementara isteri Ayob yang dikenali sebagai Sharifah Haslinda, 37, mengalami kecederaan parah.