17 November 2014

Selepas 3 Bulan Boikot, Rakyat Malaysia Mula kembali Kunjungi McDonalds

-- --


Selepas lebih tiga bulan kempen boikot McDonald's, nampaknya rakyat Malaysia kini kembali mengunjungi restoran makanan segera itu.

Perkara itu diakui oleh pekerja McDonald's yang mahu dikenali sebagai Ray sambil menyifatkan kempen boikot restoran tersebut sudah berakhir.

Beliau yang sudah tujuh tahun menjadi pekerja McDonald's berkata, restoran itu sudah 'beroperasi seperti biasa' sejak akhir September lalu.

"Perniagaan McDonald's sudah berjalan seperti biasa, semakin baik sekarang berbanding bulan Ogos lalu.

"Nampaknya rakyat Malaysia tidak boikot dalam jangka waktu yang lama," katanya ketika berbual dengan MalaysiaGazette di sebuah restoran McDonald's di pinggir Kuala Lumpur.

Ray memberitahu, kempen boikot McDonald's yang dilancarkan oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) tidak menjejaskan keseluruhan operasi restoran makanan segera di Malaysia.

Kalau terjejas pun, hanya membabitkan cawangan restoran McDonald's di kawasan penempatan Melayu, termasuk perkhidmatan penghantaran ke rumah.

Dakwa Ray, semasa kempen boikot McDonald's berlangsung, jumlah pelanggan yang masuk di restoran tempat beliau bekerja boleh dibilang dan keadaan meruncing pada waktu malam.

Restoran McDonald's yang terletak dalam stesen minyak Petronas itu pernah beberapa kosong mulai pukul 7 malam sehingga waktu operasi ditutup.

"Situasi itu dalam tempoh dua minggu tetapi apabila McDonald's melancarkan beberapa menu baru, pengunjung kembali ke restoran ini," ujarnya.

Bagaimanapun, di kawasan-kawasan lain termasuk di pusat-pusat komersial dan lokasi berhampiran pusat pengajian tinggi tidak terjejas teruk pun.

Malah, operasi McDonald's di Johor, Melaka, Pahang dan Ipoh tidak terjejas pun.

Sambil tersenyum, Ray berkata, berbanding dengan harga makanan di luar yang semakin meningkat, pakej makanan di McDonald's masih murah dan rasanya pun sedap, menjadikan pelbagai hidangan burger keluaran jenama itu masih menjadi pilihan rakyat Malaysia.

"McDonald's masih mendapat tempat dalam kalangan kanak-kanak, para pelajar atau penuntut pusat pengajian dan mereka yang gemar makanan ringan dan ringkas," tambahnya.

Kempen boikot McDonald's bermula 8 Ogos mulai jam 7 pagi hingga 7 pagi keesokan harinya sebagai bantahan serangan Israel ke atas Palestin.