11 November 2014

Kisah Sebenar 4 Beradik 'Dihalau Dengan RM70' Dari Rumah

-- --


Empat kanak-kanak yang ditemui merayau-rayau di sebuah restoran di Sibu Jaya petang Sabtu lalu difahamkan keluar dari rumah tanpa kebenaran, bukannya dihalau oleh ibu bapa angkat mereka sebagaimana yang tersebar dan menjadi viral di media sosial. - RUJUK LAPORAN AWAL DI SINI

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kodri berkata, ibu angkat mangsa berusia 32 tahun yang tinggal di Taman Kristal, di sini membuat laporan polis Ahad lalu memaklumkan empat anak angkatnya berusia dua hingga tujuh tahun tiada di rumah.

Katanya, semua kanak-kanak itu ditinggalkan di rumah sebelum wanita berkenaan keluar, tetapi sebaik pulang mendapati mereka tiada di rumah dengan mangga kunci jeriji dipecahkan.

"Hasil siasatan awal bersama ibu angkat kanak-kanak itu, dia mengesahkan tiga kanak-kanak berusia dua, enam dan tujuh tahun itu diambil sebagai anak angkat daripada saudaranya pada awal tahun lalu, manakala seorang lagi berusia tujuh tahun diambil sejak lahir.

"Wanita itu memaklumkan, ketika dia keluar, anak angkatnya ditinggalkan di rumah dengan jeriji dikunci dengan mangga, Mereka ditinggalkan tanpa penjaga, namun semua keperluan seperti makanan disediakan," katanya.

Mohd Kaml berkata, pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak itu secara fizikal sihat dan cukup nutrisi.

"Ada tanda cedera lama, tetapi tiada tanda penderaan dan mungkin kecederaan itu disebabkan jatuh sendiri kerana pada pemerhatian awal, kanak-kanak itu aktif.

"Terlalu awal membuat penilaian mengenai kes ini kerana siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kanak-kanak terbabit ditempatkan di Hospital Sibu untuk sementara waktu. Kes ini juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sibu," katanya.

Kisah mengenai empat kanak-kanak yang ditemui merayau-rayau dengan membawa dua beg dan payung di depan sebuah restoran di Sibu Jaya, Sabtu lalu, kini menjadi viral di laman sosial, kononnya dihalau ibu bapa.

Pemeriksaan dalam beg yang dibawa kanak-kanak itu menemui botol susu, lampin pakai buang, pakaian dan wang berjumlah RM70.

Kanak-kanak itu mendakwa dihalau ibu mereka, namun gagal memberikan alamat ibu bapa mereka. Semua kanak-kanak ini dibawa ke Balai Polis Sibu Jaya untuk laporan polis sebelum dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan. - Harian Metro

Gambar terkini mereka di Hospital Sibu: