21 November 2014

Jokowi Arah Karamkan Kapal Nelayan Malaysia

-- --


 KUALA LUMPUR: Kerajaan Republik Indonesia telah menahan 200 nelayan Malaysia ekoran daripada tindakan penangkapan ikan secara haram di perairan negara tersebut pada Rabu.

Penahanan tersebut adalah susulan daripada pendekatan tegas yang baru yang disuarakan oleh Presiden Republik tersebut, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi.

"Tidak perlu menahan mereka (nelayan haram), karamkan bot mereka," kata Jokowi seperti yang dilaporkan oleh akhbar Jakarta Post.

"Karamkan 10 hingga 20 (bot). Itu akan membuatkan mereka berfikir. Tetapi ingat untuk selamatkan anak-anak kapal terlebih dahulu," kata Jokowi.

Menurut laporan Reuters di dalam sebuah wawancara bersama Setiausaha Kabinet Republik Indonesia, Andi Widjajanto, membanteras penangkapan ikan secara haram perlu demi menyelamatkan Indonesia yang mengalami kerugian sekitar USD$25 Bilion setiap tahun.

"Presiden telah berkata bahawa sektor maritim Indonesia kini berada di dalam keadaan darurat.. dan kita perlu mengambil satu pendekatan baru yang berani. Oleh sebab itu, Indonesia mengecam tindakan penangkapan ikan secara haram tersebut dan dan tindakan yang keras harus diambil."

"Kami berharap tindakan ini dapat memberikan mesej yang jelas kepada negara-negara jiran kami seperti Malaysia dan China bahawa tindakan tersebut bukan satu tindakan yang biasa bagi kami," lapor Reuters.

Andi menjangkakan sekurang-kurangnya 300 nelayan haram akan ditahan dalam beberapa hari yang akan datang.

Kerajaan Indonesia, menurut Andi telah merancang untuk menjalankan protes secara diplomatik terhadap negara-negara yang terlibat yang dijangka akan membuat aduan ekoran penahanan rakyat mereka.

Republik itu juga bercadang untuk melancarkan satu pasukan pengawal perairan yang baru Disember ini bertujuan untuk mencegah lanun, penangkapan ikan secara haram dan melindungi sempadan laut negara tersebut.

Pada Khamis lalu, Menteri Perikanan dan Hal Ehwal Maritim Indonesia, Susi Pudjiastuti berkata padaDesember ini, Indonesia akan menandatangani satu memorandum persefahaman untuk menentang penangkapan ikan secara haram dengan enam duta dari negara jiran termasuk Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Australi, China.

"Keenam-enam duta itu telah berjanji akan membantu menentang penangkapan ikan secara haram," kata Susi menurut laporan Jakarta Post.